Saturday 22 September 2012

Last Summer Holiday with Love

Title : Last Summer Holiday with Love
Tajuk : Percutian Musim Panas Terakhir bersama Sayang.

29 Julai
Gadis itu melangkah gagah.membawa seribu satu perasaan berbekalkan harapan menggunung.bukan sahaja dari kedua orang tua, ahli keluarga dan sanak saudaranya malahan impian orang-orang kampungnya juga. Matanya bersinar melihat kerdipan lampu sang peneraju awan yang begitu besar. Pesawat MAS yang baru sahaja dirasmikan sempena Olimpik 2012 di London bersiap siaga untuk membelah samudera. Si gadis memboloskan diri ke ruang deck di atas. Dia sempat menyentuh kulit besi airbus A380 itu sebelum menjejakkan kaki ke dalam perut pesawat. Dia menoleh ke kanan dan kiri mencari kalau-kalau ada rakan Malaysia yang turut serta. Namun,tiada lagi si mata hitam melainkan dirinya seorang yang bertubuh kecil dikelilingi bangsa-bangsa bermata biru, hijau, dan hazel.Dia memandang ke depan. Ke skrin canggih yang memaparkan panorama di luar kapal terbang itu sebelum berlepas.Burung besi mula mengembangkan sayap, melajukan kayuhan kaki. Dia memejamkan mata, membayangkan pecutan pesawat..Saat ini..saat pecutan aselerasi inilah yang amat digemari....vooooshhhh!!!



2 September
Pesawat akan mendarat sebentar lagi.Dia memejamkan mata sekali lagi. Kitaran sistolik dan diastolik jantungnya kencang menanti dengan penuh debaran saat pesawat menghentikan kibaran sayap untuk mencecah bumi. Saat ini juga dia gemar,saat di mana dia menilai bakat jurumudi kapal gergasi ini untuk melakukan pendaratan yang sempurna.Dia memeluk rapat beg di pangkuan..

Si jejaka melihat kapal terbang sudah hampir mendarat. Sebentar lagi.. Cuma sebentar sahaja lagi. Dia bersedia memegang kertas A4 yang tertera nama si gadis untuk menyambut ketibaannya..Kertas tertera nama dengan lipatan kata rahsia itu janjinya..Ya,janji mereka. Pengumuman pesawat kedengaran di corong. "Flight number XE389 is..."
Dan sekelip mata,pandangannya kaku......bahunya ditepuk.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

"Bhoo!mengelamun ye.." Terkejut dia dengan sergahan itu. Dia menoleh. Melihat gadis berbaju putih bergambar kucing berwarna biru tersenyum nakal mengusik. Mereka beriringan menuju keluar dari airport.Si jejaka menghulurkan coklat Cadbury Caramel buat si gadis. Bimbang jika si gadis kelaparan di dalam pesawat tadi. Terlihat beberapa orang di situ tersenyum kepada mereka.



5 September
Kedai sudah mulai tutup, loceng sudah mulai berdenting. Mereka menuju ke ruang menunggu bas sambil memandang mentari yang mulai terbenam. Mereka menyelusuri jeti Gunwharf Quay. Panorama indah itu dirakam dengan kamera paling canggih bermiliar megapixel milik mata manusia. Kapal-kapal tersadai dibawa arus pasang surut. Mereka senang hati dapat meluangkan masa ke tempat orang-orang tempatan menikmati hujung minggu di atas bot-bot mewah,di kelilingi monumen torpedo sebesar pemeluk,outlet-outlet berjenama dan yang paling penting,tersedia van ais krim kegemaran mereka, Toffee Crunch. Sang jejaka sudah tidak sabar ingin mencuba aksi bergaya dengan kasut Adidas baru berwarna putih hadiah ulangtahunnya esok. Manakala si gadis tersenyum melihat ke dalam beg kertasnya, terdapat sehelai dress labuh Yumi berwarna merah jambu pilihan jejaka.Si gadis tertawa mengenangkan permintaan jejaka sebentar tadi."Saya nak sangat tengok awak pakai baju labuh sampai peha macam tu" ujar si jejaka tak berhenti-henti memasuki butik baju perempuan, diikuti senyum kelat si gadis yang jarang sekali memakai baju dress sebegitu.

Thorpe Park, London
9 September
"Aaaaaaaaa!!!!!" hanya jeritan yang kedengaran. Asap-asap, api sambar menyambar, televisyen bersiaran melaporkan letupan sayup disana sini. Wah, hebat sungguh setting untuk roller coaster taman tema Thorpe Park di London ini. Hampir kesemua permainan mereka berdua cuba. Dan setiap kali itu jugalah, si gadis akan mencari genggaman untuk berpaut. Khuatir terjatuh ke bawah dari tempat yang berputar tinggi itu. Ngeri memikirkannya.gadis mengaku kalah, sudah tewas menaiki permainan yang kesemuanya mencabar suara anak tekaknya.Dia hanya ingin bermain kapal yang berpusing sambil diputarkan lagu riang seolah-olah Merry Go Round. Saat menaiki kapal muzik berpusing itu, dia sungguh gembira mentafsirkan keriangan itu sendiri. Setelah hujan mulai rintik membasahi bumi, semua pengunjung mulai beredar. Jejaka berlari sambil menutup kepala si gadis, pengunjung lain memandang dengan senyuman.



10 September 
Sedari kecil buku-buku tertera nama Oxford sudah bermain di pandangan mata. Thesaurus Oxford Dictionary, Oxford Idioms, Oxford antonyms sinonyms dan pelbagai lagi. Padanlah namanya sungguh gah, kerana tempat itu sendiri menempatkan cendekiawan yang se-gah namanya. Rata-rata tempat yang mereka kunjungi, hampir kesemua penduduk di situ memegang buku dan akhbar. Di dalam tren, di Subway, di tepi sungai Thames, malah di tengah kesibukan kota. Jejaka dan gadis pula? Sibuk memegang peta mencari tempat kunjungan seterusnya. Letih berjalan ditiupi angin kuat, dengan keadaan kaki yang sudah mula membuat ragam, mereka berhenti di tengah padang salah satu universiti di Oxford, tempat pembikinan filem Harry Potter. Waima di tengah padang sekalipun, terdapat cendekiawan yang ralit menelaah buku di bawah pohonan rimbun. Mereka ikut sama belunjur di tengah padang berumput hijau seperti karpet itu. Mereka memicit-micit kaki sambil berceloteh memasang impian menjadi salah seorang penuntut di universiti Oxford. Kedua-dua Sang Pemimpi tersenyum membayangkan angan-angan laskar pelangi mereka.


"Jangan pijak lampu tu..kalau pijak, nanti lampu padam.hihihi.." Si gadis sekadar bercanda memberitahu jejaka supaya berjalan menyelusuri Millenium Bridge dengan tidak memijak biasan cahaya lampu. Bangunan di sekeliling jambatan begitu indah dibiasi variasi warna lampu berkedipan seolah berada di Las Vegas. Kapal-kapal mewah menyelusuri jambatan London barangkali menuju ke Greenwich, garisan khatulistiwa berlatitud sifar, tempat kunjungan impian si gadis. Suasana dingin dan romantis di sekeliling tempat itu menggamit seribu satu kenangan yang dipateri di minda mereka. Mereka berjalan mengimbau kenangan dan membincangkan perihal masa depan. Tepat jam 11 malam mereka bergegas mengejar 'tube' yang hampir kesemua penumpang adalah pasangan tidak kira tua dan muda yang mungkin ingin menikmati hujung minggu berdua.

17 September
Kota yang tersergam indah dengan bangunan berbatu putih ini merupakan negeri asal penulis novel berjudul 'Pride and Prejudice' yang menjadi kebanggaan penduduk Bath. Masih terdapat segelintir penduduk yang masih mengharmonikan pemakaian era victoria dengan bertopi tinggi, bertongkat memegang curut besar, dan memakai korset berkain kembang seolah-olah era penulis novel Jane Austen masih bertapak di situ. Si gadis dan jejaka tidak ketinggalan mengutip pengalaman di Fashion Museum mencuba pemakaian era victoria itu. Ternyata, kain kembang itu berat sekali yang mungkin menjadi salah satu sebab mengapa orang mereka berjalan dengan begitu lemah gemalai. "Come on..go on,dance.." sapa dua orang wanita yang agak berumur kepada si jejaka dan si gadis sewaktu mereka melangkah masuk ke dewan 'Ball Room'. Mereka tertawa, mana mungkin mereka ingin menari di situ persis orang Inggeris.

                                                                    
 
Mereka menikmati kota yang kaya dengan budaya dan sejarah itu dengan perasaan teruja sambil dihidangkan dengan pelbagai persembahan jalanan.ada yang menyanyi dengan suara soprano, berbasikal tinggi sambil memegang api, bermain biola dan bermacam lagi. Sejarah Rome turut dicungkil disini, di Roman Bath. Tempat Raja di masa silam menghabiskan masa dengan bermandikan wap sepanas 46 degree celcius bersama kaum kerabat. Terdapat juga telaga ajaib yang kononnya boleh mengabulkan impian si pelontar syiling dan karangan sumpahan ke dalamnya. Si jejaka dan gadis juga turut melontar syiling ke dalam telaga yang dipenuhi kilauan syiling seluruh dunia itu. Mereka sekadar ingin meninggalkan tanda tanpa mengharapkan apa-apa perkara syirik terjadi. Lewat petang itu, mereka berangkat pulang dari Bath. Angin kuat memaksa si jejaka membeli sebekas air coklat panas buat si gadis. Jejaka menghulurkan air coklat panas itu kepada si gadis di dalam kereta api sambil diperhatikan seorang mak cik berbangsa inggeris yang tersenyum lebar. Si jejaka membalas senyuman memikirkan tindakannya yang mungkin dinilai sebagai 'gentleman' oleh kaum wanita.
 

19 September
Si gadis bangkit mencari sebatang pen dan menulis sesuatu pada poskad. Dia bersiap-siap untuk berangkat pulang ke tempatnya pada hari itu. Ya, hari terakhir perjalanan musim panas kali ini. Hatinya terasa berat, berat sekali ingin meninggalkan kenangan ini. Memori di mana dia sibuk mengacau si jejaka memasak, menonton berbagai cerita di komputer bersama, berceloteh panjang tanpa menghiraukan tahap kebosanan si jejaka, membaca al-quran sambil diperbetulkan oleh si jejaka dan diselamatkan oleh si jejaka yang berusaha memanjat tingkap lagak 'Spiderman' sewaktu bilik penginapannya terkunci dari dalam. Siang mula melabuhkan tirai cahayanya. Mereka beriringan menuju ke lapangan terbang. Tidak banyak yang mereka bualkan pada hari itu. Kedua-duanya merasa sayu. Mereka tiba di perkarangan lapangan terbang. Si jejaka diam seribu bahasa, si gadis pula tidak berhenti bercakap itu ini memalsukan beratnya hati. Si gadis melangkah masuk ke tempat berlepas. Si jejaka melambai......

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * 

2 September
"Flight number XE389 is reported to be crashed during landing due to technical problems" Umum suara pekerja wanita yang seakan cemas di corong lapangan terbang.
Dan sekelip mata,pandangannya kaku......bahunya ditepuk.

"Sorry sir, are you waiting for this person on the paper you wrote?" Si jejaka diam kaku tidak berkelip melihat pemandangan kapal terbang di hadapannya yang sudah remuk sayapnya. "I'm afraid to say this person is one of the victim in the airplane crash 2 hours ago. I'm sorry for you." Pegawai itu berlalu pergi.

Dia beredar.Berjalan diiringi khayalan dan imaginasi si gadis yang ditunggu ada disampingnya. Dia menghulurkan coklat Cadbury Caramel ke tepi dan terjatuh ke lantai tidak bersambut. Dia menaiki roller coaster sambil menjerit di sebelah kerusi yang kosong. Dia memayungkan patung lilin di taman tema saat hujan membasahi bumi.
Kemana dia pergi, semua orang memandangnya tersenyum bercakap sendirian. Dia berjalan berseorangan dengan riang di kota Oxford, melompat melangkah lampu di Millenium Bridge London, dan menari bersendiri di 'Ball Room' Bath. Air coklat panas yang dibelinya dihulurkan ke sebelah dan tumpah ke lantai kereta api sambil dipandang dengan senyuman lebar oleh seorang mak cik yang duduk bertentangan. Dia akhirnya melambai..melambai pemergian gadis itu di pintu. Lambaian terakhir lewat musim itu.

Kata-kata di sebalik poskad :
Dan percayalah, rindu itu dihadirkan oleh Dia, supaya kita menghargai detik kita bersama. 

-rafa-